MARANG: Seorang suspek lelaki yang menyamar sebagai seorang wanita untuk mencuri dari sebuah kedai emas di sini pada Sabtu lalu ditahan apabila polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Rhu Dua pada hari berikutnya.
Lelaki berusia 51 tahun yang mencuri barang kemas bernilai RM200,000 di sebuah kedai berdekatan Pekan Bukit Payung itu ditahan selepas polis meneliti rakaman CCTV dari kedai tersebut.
Rakaman CCTV kejadian sebelum ini menjadi viral di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata suspek ditahan di rumah sewanya pada 11 malam.
Beliau berkata suspek, yang berpakaian seperti wanita memasuki kedai tersebut antara jam 4.30 petang hingga 5 petang ketika isteri kepada pemilik kedai itu meninggalkan kedai terbabit untuk solat Asar.
"Suspek mengambil satu dulang barang kemas. Perbuatan itu dirakam di dalam CCTV yang dipasang di kedai tersebut.
"Pemilik kedai, yang berusia 53 tahun, membuat laporan polis di balai polis Bukit Payung selepas isterinya pulang dari solat Asar dan mendapati satu dulang barang kemas hilang", katanya memetik laporan NST.
Rakaman CCTV kedai tersebut membantu polis mengenalpasti suspek.
Polis kemudian menyerbu rumah suspek di Kampung Rhu Dua sebelum menjumpai barangan yang dicuri bernilai RM80,000.
Yang lainnya dipercayai sudah dijual.
"Suspek berasal dari Negeri Sembilan itu didapati positif dadah", kata beliau.
Suspek, yang turut mempunyai rekod dadah sebelum ini telah ditahan reman. - Siakapkeli.my