Saturday, February 13, 2016

Pencuri Sempat Jamu Selera, Minum Air Ribena Ketika Pecah Masuk Rumah

Pinggan dan botol air yang dibawa keluar suspek untuk menjamu selera dan menghilangkan dahag sebelum melarikan diri. Foto : Sinar Online.

BERA, 12 Feb - Seorang atau sekumpulan lelaki yang dipercayai melakukan aktivi memecah masuk beberapa buah rumah di sini sempat menjamu selera mereka menikmati nasi berlaukkan ikan sardin, ayam dan ikan goreng serta menghilangkan dahaga mereka dengan minuman soya dan air Ribena sebelum melarikan diri.

Menurut salah seorang mangsa, Fatimah Senah, 60, suspek memasuki salah sebuah bilik dimana dia dan dua anak perempuannya tidur dan menyelongkar almari baju sebelum melarikan seutas gelang tangan.

Tambahnya lagi, semasa kejadian, tiada langsung kedengaran bunyi sedangkan almari itu akan berbunyi jika ditutup atau dibuka.

"Saya tidur dekat dengan almari. Itupun saya tidak dengar dan tidak sedar. Cuma anak lelaki saya, pada ketika itu, terkejut dari tidur dan bergegas ke arah dapur dan melihat besi tingkap telah dipotong.

"Tetapi, suspek sempat pula makan nasi sekali dengan lauk-lauk yang ada atas meja. Dia letak dalam satu pinggan, ambil satu bekas air dan makan di luar bahagian dapur," katanya sebagaimana lapor Sinar Online.

Namun, setelah pemeriksaan, hanya seutas gelang tangan sahaja yang hilang.

Seorang lagi mangsa, Khoisiah Abdullah, 66, berkata dia tersedar apabila suspek cuba memasuki bilik tidurnya untuk kali kedua selepas berjaya mengambil wang lebih RM700 yang disimpan di dalam beg tangannya.

Selain itu, dua buah telefon bimbit yang diletak berdekatan bantal turut dilarikan suspek dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.30 pagi tadi.

"Saya tersedar sebab terasa seperti ada orang. Bila saya bangun, suspek cuba ambil beg tangan yang lain kerana beranggapan ada wang tunai di dalamnya.

"Saya terkejut, dan menjerit minta tolong. Dia pun terkejut sebab saya terjaga dari tidur bergegas berlari ke arah dapur dan keluar ikut pintu dapur," katanya.

Namun, Khosiah bersyukur kerana suspek tidak bertindak di luar kawalan.

Seorang lagi mansa, Amalina Hassan, 24, berkata kejadian hanya disedari apabila keluarganya bangun untuk solat Subuh.

"Taktik yang digunakan sama sahaja, suspek potong besi tingkap di bahagian tengah, tarik keluar cermin dan masuk ikut tingkap.

"Kebetulan beg tangan mak ada di atas sofa, suspek ambil beg tangan itu. Jadinya, kad pengenalan, kad bank, duit tunai lesap," katanya.

Selain itu Amalina juga berkata laporan polis telah dibuat dan ibunya juga telah ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat kad pengenalan baru.

Laporan dari Sinar Online juga turut berkata pihaknya telah mendapat penjelasan dari Ketua Peneroka Felda Sebertak, Ahmad Long.

Menurut Ahmad Long, dalam tempoh 33 hari sepanjang tahun ini sahaja sudah tiga kejadian pecah rumah dilaporkan berlaku sekitar kawasan tersebut.

"Mangsa telah membuat laporan polis dan pihak polis juga telah melakukan siasatan awal di setiap rumah mangsa.

"Kita harap, penduduk lebih berwaspada demi keselamatan masing-masing pada masa akan datang, dan bersama-sama bekerjasama membanteras jenayah di kampung ini," kata Ahmad.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan siasatan masih lagi dijalankan. - Siakapkeli.my

Lorem ipsum is simply dummy text of the printing and typesetting industry.

Comments


EmoticonEmoticon