HIROSHIMA - Tidak ramai generasi muda tahu ada sebuah pohon bonsai berusia 390 tahun pernah terselamat daripada musnah akibat ledakan bom atom di Hiroshima, Jepun genap 70 tahun lalu iaitu pada 6 Ogos 1945.
Pokok pine berwarna putih yang berbentuk seperti sebuah cendawan itu malah didermakan pula oleh seorang pakar bonsai Jepun, Masaru Yamaki kepada Muzium Botani Nasional Amerika Syarikat (AS) pada 1976 lalu.
Di kebun bunga itu akhirnya tempat kediaman pohon kerdil ini ‘bermastautin’ selama 30 tahun penuh dengan misteri sebelum kisah rahsia tumbuhan tersebut dibongkarkan sendiri oleh dua orang cucu mendiang Masaru.
Cerita sejarah luar biasa pohon itu didedahkan pada 2001 lalu oleh kedua-dua mereka dan menurut kurator taman tersebut, cucu Masaru datang secara mengejut tanpa memaklumkan pihak pengurusan kawasan kebun berkenaan.
Mereka sebaliknya bertanyakan apakah pihak muzium tersebut membenarkan cucu pakar bonsai terkenal Jepun itu untuk memeriksa keadaan pohon yang dihadiahkan oleh mendiang datuknya kira-kira tiga dekad lalu.
Kurator kemudian menjemput dua cucu Masaru itu makan tengah hari bersama-sama dan pada saat itulah mereka bercerita bahawa keluarga Masaru sudah menjalankan perniagaan bonsai di Hiroshima selama beberapa generasi.
Kebetulan pada 6 Ogos 1945 pukul 8.15 pagi, bom atom Little Boy digugurkan tentera AS lantas meledak dan menghancurkan seluruh isi kota Hiroshima, termasuk sekitar tempat perusahaan bonsai milik keluarga Masaru.
Dianggarkan kira-kira 140,000 orang terbunuh di Hiroshima, manakala tiga hari kemudian sebiji lagi bom jenis sama digugurkan di sebuah lagi bandar Jepun, Nagasaki sekali gus mengorbankan 70,000 nyawa penduduk.
Namun keluarga Masaru yang tinggal hanya beberapa kilometer dari Hiroshima terselamat daripada ledakan bom atom itu, malah kesemua pohon bonsai yang dibiakkan mereka turut bernasih baik masih lagi sihat subur.
Setakat ini tidak jelas mengapa Masaru memilih untuk tidak menjelaskan sejarah luar biasa pokok itu ketika mendermakannya kepada pihak Muzium Botani Nasional yang terletak di pinggir ibu kota AS, Washington DC.
Jack Sustic, kurator taman itu menyatakan, dia yakin pohon tersebut selamat daripada ledakan bom atom kerana secara kebetulan terlindung di sebalik sebuah tembok batu lama milik warisan keluarga Masaru yang agak kukuh.
“Salah satu hal yang membuatkan pokok ini amat istimewa ialah sejarahnya, cuba anda sendiri bayangkan, seseorang sudah pernah memelihara pohon ini zaman-berzaman tanpa henti sejak tahun 1625,” kata Sustic.
Dia yang bertugas menyiram tanaman di tempat itu, termasuk memeriksa secara rutin kehadiran serangga perosak turut menjelaskan, tidak seperti koleksi muzium lain, bonsai tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa perawatan.
Presiden Yayasan Bonsai Nasional, Felix Laughlin mengatakan bahawa dia sangat terkejut dengan kesudian Masaru pernah menyumbangkan pokok bonsai istimewa itu tanpa sebarang publisiti dan hebahan promosi.
“Saya anggap apa dilakukan Masaru menderma bonsai yang tidak ternilai harganya kepada negara yang ketika itu dianggap sebagai ‘musuh’ merupakan satu perbuatan luar biasa,” ujar beliau. – Agensi/Mynewshub/HAA