Showing posts with label Kemalangan. Show all posts
Showing posts with label Kemalangan. Show all posts

Wednesday, February 17, 2016

SAYU.. Luah Ibu Mangsa 4 Remaja Maut Lepas Hilang 7 Hari

johor-accident

HATI ibu mana yang tidak risaukan keselamatan anak terunanya setelah hilang selama seminggu tanpa menerima sebarang khabar berita.

Lebih-lebih lagi jika anak yang hilang itu merupakan seorang yang begitu rapat dan manja dengannya, pastinya perasaan bercampur baur mengenangkan keselamatan anaknya itu.
Begitulah perasaan yang dilalui oleh ibu kepada arwah Abu Izzani Abu Bakar, salah seorang mangsa yang dilaporkan meninggal dunia di dalam kejadian kereta terjunam ke dalam sungai di Felda Tenggaroh.
Ibu mangsa yang menggunakan nama akaun Cekmek Molek M Yusoff di Facebook sebelum mengetahui berita mengenai kematian anaknya itu tidak henti-henti berdoa.
Malah beliau turut meminta netizen di media sosial tempatan agar menyebarkan maklumat mengenai kehilangan anaknya itu sehingga ia menjadi viral beberapa hari lalu.
mama5
mama6done
Apa yang lebih membuatkan kami bertambah sedih adalah ketika membaca posting terakhir yang dimuat naik oleh ibu tersebut.
Dia mengatakan yang anaknya itu sempat memberikan ciuman di pipinya sebelum bertolak dengan menaiki kereta bersama-sama keempat-empat rakannya.
“Adik pergi dulu ea basah pipi ibu adik cium, walaupun dah 21 tahun masih manja,”tulisnya di posting terbaru yang dimuat naik hari ini.
mama7
Berita sedih mengenai kejadian yang menimpa ke atas keempat-empat pelajar itu benar-benar membuatkan seluruh rakyat Malaysia merasa pilu.
Bertabahlah buat ibu kepada arwah Abu Izzani, kami mendoakan arwah dan ketiga-tiga mangsa yang lain, Luqman Jainie, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa ditempatkan bersama golongan insan yang beriman.-MYNEWSHUB.CC

(Gambar) Misteri Kehilangan 4 Remaja 10 Februari Lalu Akhirnya Terjawab


MERSING: Misteri kehilangan empat orang remaja yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Terengganu 10 Februari lalu akhirnya terjawab dengan terjumpanya sebuah kereta jenis Honda Accord bernombor pendaftaran JEB9978 di dalam sungai berhampiran Felda Tenggaroh pagi tadi.

Kereta Honda Accord itu ditemui beberapa pekerja ladang  pada 9.20 pagi sebelum menghubungi polis.



Kereta yang dinaiki mereka dipercayai terbabas ke dalam sungai berkenaan di mana berdasarkan twitter Harian Metro mengesahkan kesemua mereka meninggal dunia.







Mereka yang meninggal dunia adalah Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

Kempat-empat mayat mereka dibawa ke Hospital Mersing, untuk tindakan selanjutnya.

Empat sekawan ini dilaporkan hilang sejak 10 Februari lalu dimana mereka dalam perjalanan daripada Seri Alam, Pasir Gudang ke Terengganu untuk bercuti dan gagal dihubungi keluarga selepas tempoh dua jam bertolak. - Siakapkeli.my

Sunday, February 14, 2016

Wanita hamil antara 3 parah kereta terbalik

ANGGOTA Bomba bersama JPAM dan Hospital Tuanku Ja'afar Seremban bertungkus lumus menyelamatkan mangsa kemalangan.

SEREMBAN: Seorang wanita hamil antara tiga parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini, pagi tadi. 


Dalam kemalangan di Kilometer 279.4, berhampiran persimpangan ke Lebuh Raya ELITE kira-kira jam 3.30 pagi itu, tiga lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berumur setahun dan dua tahun, cedera ringan. 

Kereta terbabit yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Shah Alam, dipercayai terbabas sebelum terbalik di tepi lebuh raya itu. 

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Pegawai Bomba Kanan II Munawir Md Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.54 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 4.09 pagi bersama enam anggota dengan sebuah jentera. 

"Setiba tiba, kami dapati semua mangsa sudah dikeluarkan oleh pengguna lebuh raya. 

"Mereka dihantar dengan ambulans Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke HTJ di sini," katanya.

Monday, February 1, 2016

Tragedi Hantar Anak Ke Taska, Kanak-kanak empat tahun maut

Kesan darah di tempat kejadian .Kredit foto : Harian Metro / Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu, 1 Feb: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut setelah dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh ibunya yang dipercayai tertekan pedal minyak di kawasan parkir di Taska Alam Damai, Taman Seputih, Luyang, Kota Kinabalu pada pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 9.30 pagi itu, dua murid taska yang lain serta seorang guru turut cedera dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II.

Mangsa yang maut adalah Megan Wong Shi Ting manakala yang cedera adalah Siti Amira Haqisyah Maennang Ambia, 6, Mohd Fakhriy Fasyin Norman, 5, dan Valin Shammi, 25.

Laporan Harian Metro melaporkan, sebelum kejadian ibu kepada Megan, 36, menurunkan anaknya di depan pagar taska tersebut.

Kemudian, dia masuk semula ke dalam kereta dan dipercayai tertekan pedal minyak keretanya sehingga terlanggar Mega yang berjalan beriringan dengan dua lagi murid dan guru di hadapan keretanya.

Megan disahkan meninggal pada 10.10 pagi di Hospital Queen Elizabeth II.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra, siasatan lanjut masih dijalankan. - Siakapkeli.my

Sunday, January 31, 2016

Pelajar Meninggal Dalam Kemalangan, Siri Tweet Sebelum Ajal Jadi Viral


MUADZAM SHAH, 1 Feb - Seorang pelajar dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Muadzam Shah dan bapa meninggal dunia dalam satu kemalangan apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan - Segamat berhampiran dengan Ladang Dara Teh sekitar jam 11.15 pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Haziq Januddin, 23 dan bapa, Janudin Sukardi, 55, maut ketika dalam perjalanan menuju ke Uniten Kampus Muadzam Shah untuk Haziq pulang ke universiti tersebut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dinaiki mangsa dari arah Segamat, Johor menghala ke arah Kuantan dipercayai dalam keadaan cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal lalu bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya sebagaimana lapor Sinar Online.

Sementara itu, di laman Twitter, perkongsian tweet-tweet Haziq beberapa hari sebelum terlibat dalam kemalangan itu mendapat perhatian netizens di laman media sosial tersebut.


Para netizens di Twitter terutamanya rakan mangsa turut menyampaikan perasaan hiba dan pilu mereka dengan apa yang terjadi.

Semoga kedua-dua mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah untuk mangsa dan bapanya. 

Siakapkeli.my

Friday, January 8, 2016

GAMBAR: Lelaki maut kereta terputus dua dilanggar PERODUA Kelisa


KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta PROTON Iswara dipandunya terputus dua akibat dirempuh sebuah kenderaan lain di Jalan Pintas Tuaran, berhampiran Kampung Puri Warisan, Menggatal, di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, Yacob Ahmad, 50, berasal dari Sandakan, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera teruk di badan dan kepala akibat tersepit. 

Kejadian turut mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta PERODUA Kelisa yang merempuh kereta mangsa, parah dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2). 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata sebelum kejadian PERODUA Kelisa itu dalam perjalanan dari Menggatal ke Kota Kinabalu.

PERODUA Kelisa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintas Tuaran, berhampiran Kampung Puri Warisan, Menggatal, malam tadi, turut mengalami kerosakan teruk.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan itu merempuh bahagian tepi sebelah kiri PROTON Iswara yang membuat pusingan U. 

"Rempuhan itu mengakibatkan PROTON Iswara terbabit terputus dua dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas tersepit," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. 

Chandra berkata, berikutan kejadian itu, penumpang wanita PERODUA Kelisa berusia 24 tahun cedera di kepala dan belum sedarkan diri, manakala pemandunya iaitu lelaki berusia 25 tahun patah kaki kiri serta luka di badan. 

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KERETA PROTON Iswara dipandu mangsa putus dua akibat dirempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Pintas Tuaran, berhampiran Kampung Puri Warisan, Menggatal, malam tadi.




Tuesday, December 29, 2015

Pemandu teksi parah nahas 6 kenderaan

KEADAAN teksi mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan. FOTO Mohd Nazrulaswad Hamdan 

Ipoh: Pemandu teksi parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, pemandu teksi berusia 33 tahun berkenaan cedera di dada dan pinggang.

Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah teksi, Mercedez Benz, Proton Gen 2, Toyota Vios, Honda Accord dan motosikal jenis SYM Sport Bonus SR.

Pemandu Mercedes Benz berusia 49 tahun turut cedera ringan di dada dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati pemandu Mercedez yang dalam perjalanan dari Simpang Empat menuju ke Medan Gopeng dipercayai hilang kawalan dan merempuh teksi serta Proton Gen 2 di bahagian hadapan ketika lampu isyarat menunjukkan warna hijau.

"Susulan rempuhan itu, pemandu kereta mewah terbabit melanggar tiang lampu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) manakala pemandu teksi berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua kereta jenis Honda Accord dan Toyota Vios serta sebuah motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat terbabit.

"Pemandu teksi dan kereta mewah berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)Ipohuntuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, empat lagi pemandu lain serta seorang penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.