RASANYA semua orang di Malaysia (kecuali yang tidak pernah langsung mengikuti isu semasa) pasti kenal sangat dengan si Alvin Tan ini yang sentiasa glamor dengan pelbagai isu kontroversi panas sejak lebih setahun lalu.
Kebiadapan lelaki berusia 27 tahun mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia serta seluruh dunia kerana tindakan kurang ajarnya menghina agama Allah itu menerusi pelbagai posting dalam akaun media sosialnya.
Ironi dia tetap tidak serik bercelupar demi kononnya itu adalah kebebasan hak asasi manusia yang perlu dihormati semua pihak waima sengaja menimbulkan provokasi keterlaluan yang menyentuh isu-isu sensitif keagamaan.
Meskipun pernah dihadapkan ke mahkamah tahun lalu di bawah Akta Hasutan bersama-sama dengan kekasihnya, Vivian Lee, Alvin berjaya melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS) dan aktif ‘berkarya’ seni kreatifnya dari sana.
Di sebalik banyak laporan polis dibuat termasuk tindakan tegas pembatalan pasport antarabangsa dirinya oleh Jabatan Imigresen Malaysia, dia tetap angkuh dan meneruskan posting yang berbaur lucah serta amat biadap.
Terbaharu, penulis blog ini memuat naik kiriman yang memaparkan dia berbangga membaca al-Quran di dalam tandas dan kemudian mencuci najisnya dengan mushaf kitab suci tersebut kerana konon kehabisan tisu jamban.
Namun, tanpa disedari mungkin itulah posting terakhir Alvin menerusi Facebook sebelum dilaporkan telah ‘dikeluarkan’ pentadbir laman sosial popular itu kerana didakwa bertentangan dengan piawaian komunitinya.
MYNEWSHUB dimaklumkan mengenai berita gembira berkenaan pada Sabtu dan alasan utama pihak Facebook sendiri mengharamkan akaun Alvin itu dinyatakan kerana didapati memaparkan bahan yang berunsur lucah.
Apa yang menarik, menurut kenyataan Facebook, tiada sesiapa pun buat laporan mengenai akaun bekas warga Malaysia ini dan itu bermakna ia dipadam pentadbir laman tersebut berdasarkan pemantauan mereka sendiri.
Ternyatalah jika si Alvin ini mungkin menyangka dia mendukung kebebasan mutlak tanpa had batasan, tetapi terlupa pihak pentadbir Facebook yang berpangkalan di AS sendiri pun jelik melihat siri posting biadapnya itu.
Mungkin dia terlepas hukuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana kebijakannya, namun tidak sedar pihak Facebook turut memantau kegiatan Alvin yang boleh menjejaskan imej kredibiliti laman itu.
Jangan pula dia hendak menyalahkan kerajaan Malaysia atau umat Islam pula kerana penutupan akaun Facebook dirinya itu adalah disebabkan oleh ‘kejahatan’ aksi tangannya sendiri selama ini. – Mynewshub.cc/HAA