IPOH: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar pokok di Kilometer 5, Jalan Seri Manjung-Segari berhampiran Taman Nakhoda dekat Sitiawan, di sini hari ini.
Mangsa Abdul Fattah Hashim, 24, yang cedera parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 pagi itu, mangsa memandu kereta jenis Toyota Vios dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok di bahu jalan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Ashaari Mat Radzi berkata bomba menerima maklumat kejadian pukul 3.55 pagi dan tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.
"Bomba mengambil masa kira-kira 15 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan mangsa yang bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Teluk Intan, baru melangsungkan pertunangan pada Ahad lalu. -- BERNAMA