Gambar hiasan
JERTIH: Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini, ditemui mati tergantung di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong, dekat sini, petang semalam.
Kejadian disedari abang ipar mangsa pada kira-kira jam 5.40 petang yang hendak mengajaknya keluar ke bandar.
Abang iparnya memanggilnya beberapa kali tetapi mangsa tidak keluar dari biliknya dan terkejut melihat adik iparnya tergantung sebaik membuka pintu bilik.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa menggunakan tali buaian yang digantung pada kayu alang rumah untuk membunuh diri.
"Abang ipar mangsa kemudian menurunkan mangsa dan dan membawanya ke Hospital Besut bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, bedah siasat oleh pihak Hospital Besut mendapati kematian mangsa berpunca daripada gantung diri dan tidak ada kesan kecederaan lain pada bahagian luar dan dalam badan.
Khaled berkata, siasatan awal tidak menemui unsur jenayah di tempat kejadian dan polis masih menyiasat punca mangsa menggantung diri.
Katanya, pada hari kejadian, abang ipar memberitahu dia ada memarahi mangsa kerana memukul anaknya.