SEORANG jurujual telefon bimbit di Kompleks Pertama kantoi cuba menipu apabila dirakam menjual telefon bimbit yang tidak original pada harga tak selayaknya.
Video kejadian yang dirakam oleh mangsa itu kini giat dikongsikan di media sosial.
Mangsa dalam rakaman tersebut mendakwa, dia telah ditipu oleh jurujual yang mengatakan telefon iPhone yang dijual kepadanya adalah baharu dan belum pernah digunakan.
Atas sebab itu, mangsa bersetuju membeli telefon jenama Apple berkenaan pada harga RM2,700.
Namun apabila pulang ke rumah, mangsa mendapati iPhone yang baru dibelinya itu telah digunakan selama 6 bulan berdasarkan pemeriksaan pada nombor waranti di laman Apple.
Berang ditipu oleh jurujual terbabit, mangsa kembali ke premis tersebut dan meminta wangnya dipulangkan.
Jurujual itu dikatakan terkejut dengan kedatangan semula mangsa lalu berpura-pura memeriksa iPhone yang telah dijualnya, konon untuk mengesahkan dakwaan mangsa.
Selepas beberapa minit, jurujual tersebut cuba berunding dengan mangsa agar masalah dapat diselesaikan tanpa perlu memulangkan wang RM2,700 milik mangsa.
“Semalam you cakap ini iPhone baru punya dan you jual sama saya RM2,700. Berapa kali sudah saya tanya sama you, ini handphone baru ke, AP set ke, atau secondhand? Sekarang ni kenapa you sudah tipu sama saya? You tengok waranti dia sudah berapa lama? You tak payah tipu sama saya la!” kata mangsa.
Bagaimanapun, mangsa enggan menerima sebarang tawaran jurujual terbabit dan mendesak wangnya dikembalikan.
Mungkin mengetahui dirinya dirakam dan bimbang jika kejadian ‘Low Yat’ berulang, jurujual itu akhirnya akur dan memulangkan wang mangsa.
Difahamkan, orang awam sering juga membuat aduan berkenaan kes penipuan yang dilakukan oleh peniaga di kompleks terbabit.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati apabila membeli sebarang jenama telefon bimbit di kiosk-kiosk telefon bimbit di pusat beli belah. Sebaik-baiknya, belilah di premis penjual yang berdaftar meskipun harganya agak mahal sedikit.
– MYNEWSHUB.Cc