BERITA kematian seorang remaja lelaki yang dilaporkan membunuh diri ekoran kecewa setelah gagal menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas Matematik Tambahan 1 Selasa lalu, mengejutkan banyak pihak.
Seorang rakan sekelas mendiang yang tidak mahu dikenali mendedahkan, pada hari kejadian Hon Ye tiba lima minit lewat untuk menjawab soalan kertas Matematik Tambahan 1.
Menurutnya, hal itu membuatkan dia berasa pelik kerana kebiasaannya mendiang selalu menepati masa.
“Kami tidak pernah terfikir dia begitu tertekan sehingga sanggup bunuh diri. Dia beritahu guru mahu pulang ke rumah dan meninggalkan peperiksaan separuh jalan.
“Selepas itu apabila kawan-kawan mengajak keluar makan, dia menolak pelawaan mereka. Perkara seterusnya yang kami tahu dia sudah menggantung diri,” kata pelajar berkenaan.
Dia menyifatkan mendiang yang juga merupakan pelakon bagi drama tempatan berbahasa Cina sebagai pelajar yang kuat berusaha dan cemerlang dalam pelajaran.
“Kamu tak akan nampak dia tanpa buku. Dia selalu tinggal berseorangan dalam kelas untuk menelaah pelajaran,“katanya menerusi laporan disiarkan Malaymail Online.
Seorang lagi rakan mendiang memberitahu, Hon berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan PMR.
“Subjek kegemarannya adalah kimia. Dia juga sebahagian dari program JUARA untuk pelajar-pelajar cemerlang,” katanya.
Hon juga dikatakan seorang yang sangat merendah diri dan tidak pernah menunjuk-nunjuk meskipun bergelar pelakon.
Sementara itu, rata-rata pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Kuala Lumpur turut beranggapan Hon Ye seorang individu yang periang.
Difahamkan semasa peperiksaan percubaan SPM, Hon mendapat 9A, 1 B.
Terdahulu, akhbar melaporkan mayat seorang pelajar berusia 17 tahun ditemui tergantung dengan lilitan tali leher di dalam biliknya di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang. – MYNEWHUB.CC