KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dekat Bukit Mok Sono, Kemaman, petang semalam.
KEMAMAN – Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan tiga kereta di Jalan Ibok-Kemasik, dekat Bukit Mok Sono, di sini, petang semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu mangsa yang maut ialah Ripin Abdullah, 71, dan isterinya, Lijah Hassan, 71, dari Kampung Yak Yah Ibok, di sini.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Kemaman, kira-kira jam 7 malam.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Avanza dinaiki pasangan itu yang dalam perjalanan dari arah Kemasik ke Ibok dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Berikutan itu, kereta mangsa dirempuh sebuah Proton Gen2, sebelum sebuah Perodua Myvi gagal mengelak, lalu merempuh bahagian belakang Proton Gen2 terbabit.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. – BHarian Online