PUTRAJAYA - “Mungkin ini Ramadan terakhir Abang,” itu antara gurauan pelik arwah Nik Norul Hidayat Nik Mustafa, 31, yang diingati isterinya Anis Naziha Abdul Rauf, 31.
Anis berkata, dia langsung tidak merasa sebarang kelainan kerana menganggap apa yang dituturkan suaminya hanyalah gurauan.
"Dia periang dan ketika keluar membeli-belah persiapan raya pada awal Ramadan, dia ada cakap teringin pakai baju Melayu putih untuk hari raya tetapi tidak jadi beli sebab takut orang (keluarga) fikir bukan-bukan,” katanya sewaktu ditemui di perkarangan bilik forensik Hospital Putrajaya, semalam.
Nik Norul Hidayat, wartawan Sinar Harian maut awal pagi semalam selepas dilanggar lari dalam kejadian di Kilometer 19.6 Lebuh Raya Elite.
Menurut Anis, kali terakhir dia bertemu arwah adalah pada jam 3 petang kelmarin ketika mengambilnya daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11, Shah Alam.
Katanya, selepas menghantarnya pulang ke rumah, arwah bergegas semula ke pejabat untuk menyelesaikan tugasannya.
Anis berkata, dia reda dengan pemergian arwah kerana percaya ini adalah yang terbaik untuknya.
Ibu arwah, Masitah Mohd Yusof, 56, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya.
Katanya, anak sulung dari tiga beradik itu pernah menyuarakan hasrat untuk membawa isterinya bercuti bagi menyambut ulang tahun perkahwinan ke tujuh mereka pada 26 Julai ini.