KUALA LUMPUR: Botol plastik air minuman dari China dan
cecair pencuci dari Indonesia ditemui terdampar di kawasan pantai Pulau Reunion
di mana serpihan sayap dipercayai daripada pesawat Boeing 777 ditemui kelmarin.
Botol berkenaan ditemui hanya beberapa jam selepas serpihan
sayap bersaiz dua meter panjang dan sebuah beg pakaian yang rosak ditemui
terdampar di pulau kecil di Lautan Hindi itu.
Laporan penemuan botol plastik berkenaan di pulau itu
mencetuskan spekulasi bahawa ia datang daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS)
MH370 yang hilang sejak lebih setahun lalu di selatan Lautan Hindi.
Terdapat 153 penumpang warga China dalam penerbangan itu
apabila ia hilang Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke
Beijing.
Bagaimanapun, media Perancis, Linfo.re menolak teori itu
dengan menyatakan botol berkenaan mungkin daripada kapal kargo negara Asia yang
lalu hampir dengan pulau itu. - Agensi