TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Begitu nasib seorang lelaki di Wuhu, China yang terkejut apabila mendapati wang kertas miliknya bernilai hanya 100 yuan (RM60) kini bertukar nilai kepada ribuan ringgit.
Semuanya gara-gara wang kertas yang dilabelkan sebagai cacat itu mempunyai imej tera air bekas pemimpin terkenal China, Mao Zedong yang tersilap dicetak terbalik.
Menurut pemilik wang berkenaan yang tidak didedahkan namanya, dia memperoleh wang kertas itu daripada seorang warga emas ketika beratur di sebuah bank lapan tahun lalu.
Difahamkan, warga emas itu bersetuju membuat pertukaran dengan wang kertas 100 yuan lain selepas abang iparnya menganggap wang kertas tersebut sesuatu yang dianggap sebagai ‘kelakar’.
Setelah beberapa tahun menyimpannya, lelaki yang merupakan ahli perniagaan tempatan ini kemudian memuat naik gambar wang kertas yang dicetak pada 1999 itu menerusi laman Internet.
Gambar wang kertas cacat yang dikongsi bulan lalu itu menarik perhatian ramai pengumpul wang sehingga ada yang sanggup membayar lebih 70,000 yuan (RM43,000). – MYNEWSHUB.CC