Norasyakila bersama Allahyarham Muhammad Saddam Hussin.
KLUANG - Muhammad Saddam Hussin sering menyebut mengenai mati kepada bakal tunangnya, Norasyakila Mazlin, 23, sejak kebelakangan ini berikutan bimbang keselamatan diri ketika menunggang motosikal.
Norasyakila berkata, berita kematian Muhammad Saddam Hussin amat mengejutkan kerana kali terakhir mereka berhubung pada jam 11.40 malam kelmarin sebelum arwah mengambil anak saudaranya di Pasir Gudang.
Katanya, kali terakhir mereka bertemu dua minggu lalu apabila Muhammad Saddam Hussin datang dengan menaiki motosikal ke Sungai Petani, Kedah, untuk menemuinya bagi membincangkan hubungan mereka.
“Itu kali terakhir saya bertemu dia dan tidak sangka itu pertemuan terakhir kami sebelum majlis pertunangan yang bakal dilangsungkan 25 Julai ini.
“Saya mengenali arwah sejak 2010 dan disebabkan sudah saling kenal kami bersetuju mengikat tali pertunangan tetapi hajat kami tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Norasyakila berkata, sejak kebelakangan ini, arwah sering menyatakan dia akan sayanginya walaupun sudah tiada di muka bumi ini.
“Dia selalu kata “walaupun saya sudah tiada, saya hendak awak tahu saya sayang awak sampai bila-bila....’ tetapi masa itu saya hanya diam.
“Saya pada mulakan tidak perasan sangat tetapi semakin lama semakin kerap dia cakap, jadi saya makin risau sesuatu akan berlaku. Namun saya reda dengan pemergiannya,” katanya sebak.