Marina tidak dapat menahan sebak apabila melihat dua anaknya terbaring lemah.
DUNGUN - "Ya ALLAH selamatkanlah anak aku," ratap seorang ibu, Marina Mansor, 41, apabila melihat salah seorang anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di 373.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa II, di sini, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.05 pagi itu, lima beranak bersama salah seorang lagi saudara mereka nyaris maut apabila kereta dipandu anak Marina, Mohd Faiz Nazrim Sofi, 21, terbabas dan terlanggar pengadang jalan.
Marina berkata, dia bersama empat anaknya berusia di antara 7 hingga 21 tahun dan seorang lagi saudara dalam perjalanan dari Jertih ke Johor Bahru selepas menziarah ibu mertuanya yang baru meninggal dunia.
“Saya bersama empat orang anak dalam perjalanan selepas ziarah arwah nenek mereka. Kami bertolak awal pagi kerana salah seorang anak akan menghadiri majlis penyampaian sijil Institut Kemahiran Mara (IKM) dan perlu sampai ke sana sebelum jam 5 petang.
“Salah seorang anak saya berperangai pelik beberapa hari sebelum ini dan dia cakap, dia takut tidak dapat hidup lama dan tak sempat beraya tahun ini. Dia juga mengambil gambar dengan pakaian raya yang sudah dibeli,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, ketika kejadian keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Besut menuju ke Johor Bharu.
“Sewaktu tiba di lokasi kereta jenis Honda Accord terbabas ke kanan dan merempuh pengadang jalan menyebabkan kenderaan mereka remuk teruk.
Bagaimanapun, semuanya terselamat dan empat daripada mereka hanya cedera ringan serta dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
“Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, keadaan jalan kering dan cuaca baik. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.