DETIK mengerikan melibatkan pembunuhan seorang peguam terkenal di Argentina telah dirakam melalui rakaman litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran.
Menerusi video yang mula mendapat perhatian pengguna media sosial itu, peguam Ernesto Gonzalez dirakam telah ditembak berkali-kali oleh seorang lelaki.
Ernesto yang kelihatan langsung tidak menyedari apa akan berlaku dikatakan ingin bersarapan di sebuah restoran sebelum ditembak oleh seorang lelaki bertopi yang dipercayai kliennya, Carlos Martinez.
Carlos merupakan salah seorang klien kepada peguam terkenal itu yang kini berhadapan dengan tuduhan di atas kes penderaan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan.
Lelaki terbabit tanpa teragak-agak melepaskan enam das tembakan ke arah Ernesto sebelum menembak dirinya sendiri di kepala.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu di depan mata dilihat berlindung di bawah meja kerana ketakutan.
Kejadian ngeri itu berlaku Rabu lalu, kira-kira jam 7.20 pagi di bandar Corrientes.
– MYNEWSHUB.CC