THANE: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan maut, manakala ibunya cedera apabila ambulans yang dinaiki terbakar dan meletup ketika dalam perjalanan ke hospital di sini.
Kejadian pada Khamis lalu berlaku terlalu pantas hingga menyebabkan doktor dan jururawat yang berada di dalam ambulans itu bertindak melompat keluar dari kenderaan itu sebelum letupan berlaku.
Kedua-duanya dikatakan panik dan melompat keluar selepas melihat percikan api tong gas oksigen dalam ambulans itu.
Tindakan petugas hospital itu menyebabkan mereka turut tercedera apabila doktor terlibat mengalami 21 peratus tahap kebakaran, manakala jururawat berkenaan tujuh peratus.
Letupan yang berlaku di Vartak Nagar, di sini ketika pasukan paramedik itu dalam perjalanan ke hospital Vedant kerana komplikasi.
Polis daerah Vartak Nagar telah memfailkan laporan kejadian itu dan menyiasat tugas doktor dan jururawat dalam ambulans berkenaan.