MAYAT warga Myanmar yang dijumpai berbungkus kain putih dengan tangan dan kaki diikat.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dalam bungkusan kain putih dengan tangan dan kakinya diikat, dalam semak berhampiran tangki air Jalan Semerah Padi, Taman Pertama Cheras, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 20 tahun itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan semak itu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata kejadian dimaklumkan orang awam yang melalui kawasan itu pada jam 2.23 petang.
Beliau berkata, anggota yang tiba bersama pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) menemui kesan darah di lokasi kejadian.
"Berdasarkan siasatan, mangsa dibunuh di sebuah kilang besi di Kampung Cheras Baru. "Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa sebelum membuang mayatnya di dalam semak," katanya.
Susulan kejadian, polis menahan rakan senegara mangsa berusia 20 tahun, yang disyaki terbabit dengan kejadian bagi membantu siasatan.
"Pemeriksaan di lokasi mayat ditemui tidak menemui sebarang senjata. "Suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.