NORMASWANIDA sudah stabil dan perlu berehat selepas menjalani pembedahan, semalam.
Kuala Lumpur: “Saya cemas sebaik melihat kakak ipar berlumuran darah sambil menekap lehernya yang cedera parah dikelar penjenayah,” kata Muhamad Ikhram Omar, 20an, berhubung kejadian rompakan membabitkan anggota polis, Lans Koperal Normaswanida Alias, 27.
Menurutnya, kejadian berlaku jam 7 pagi kelmarin, ketika kakak iparnya mahu membeli nasi lemak di sebuah warung berdekatan rumah di Danau Kota, Setapak di sini.
“Saya hanya mengetahui kejadian itu sebaik melihat kakak ipar pulang ke rumah dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.
“Kakak dihantar tiga remaja lelaki jam 7.45 pagi. Ketika itu dia memegang leher yang berdarah teruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
Menurutnya, dia bersama ibu kemudian segera menghantar kakak iparnya ke Klinik Kesihatan Gombak Setia untuk mendapatkan rawatan kecemasan.