Gambar hiasan
KAJANG – Seorang pelajar wanita terpaksa berdepan detik hitam apabila suspek yang juga seorang pelajar bertindak merakam ketika mangsa berada di dalam tandas.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, di sebuah institut pengajian tinggi dekat sini, kelmarin, mangsa berusia 20 tahun, sendirian meluangkan masa untuk mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
Menurut sumber, mangsa kemudian ke tandas berhampiran perpustakaan tersebut untuk membuang air.
“Ketika di dalam tandas, mangsa melihat objek mencurigakan iaitu telefon bimbit di bahagian atas tandas.
Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas untuk melihat jika ada individu melakukan perkara itu,” katanya.
Sumber berkata, mangsa bagaimanapun berasa curiga melihat pintu tandas disebelahnya yang tertutup rapat.
Katanya, setelah ditunggu beberapa minit, kemudian keluar seorang lelaki yang juga pelajar di institut terbabit.
“Mangsa telah meminta penjelasan daripada lelaki terbabit berhubung insiden memalukan itu. Kemudian video mangsa dipadam oleh pelajar lelaki berkenaan, bagaimanapun, pemeriksaan menemui beberapa video lai,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard, mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, telefon bimbit suspek dirampas dan dia kini ditahan untuk siasatan selepas mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi.