Fdaus pada mulanya agak sinis dengan sambutan meriah majlis ulang tahun perkahwinan rakannya.Foto/Facebook Fdaus Ahmad
Satu status yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, bercerita tentang kisah sambutan ulang tahun sahabatnya, menjadi perkongsian hebat di laman Facebook hari ini.
Bersama status itu, pengguna Facebook dengan nama Fdaus Ahmad itu turut meletakkan hashtag #doauntukhafizlaila.
Hashtag itu kini menjadi perhatian dan digunakan ramai sebagai satu cara untuk berkongsi harapan dan doa mereka buat pasangan itu.
Dalam ceritanya, Fdaus mengimbas bagaimana dia pada mulanya memberi reaksi yang agak sinis apabila mendapat tahu rakannya, Hafiz dan isterinya Laila, diraikan rakan-rakan mereka dengan meriah, sempena sambutan ulangtahun perkahwinan mereka yang keenam.
Menerusi pesanan melalui WhatsApp, kata Fdaus, dia sempat memerli seorang rakannya, Shahrul, yang dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu menggembirakan Hafiz dan Laila.
Namun, semua tanggapan negatif yang difikirkannya, lenyap apabila diberitahu, Laila kini menghidap kanser yang kini sudah berada di peringkat advanced.
Di akhir statusnya, Fdaus menyatakan harapan agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama dengannya, berdoa untuk Hafiz dan Laila agar diberi kekuatan untuk mengharungi dugaan getir ini.