Friday, December 25, 2015

Luahan sayu suami lihat isteri berlumuran darah, anak mati tersepit depan mata


JELI: "Saya tidak sangka perjalanan kami tiga beranak untuk melihat cucu sulung buat pertama kali bertukar tragedi," luah Abdul Rahim Hashim, 68. 

Abdul Rahim kehilangan isteri, Hasiah Osman, 57, dan anaknya, Mohamad Amir, 16, selepas bas ekspres yang mereka bergesel dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 124, Batu 14 Jalan Jeli-Grik, dekat Batu Melintang, di sini, jam 1.30 pagi tadi. 

Katanya, ketika kejadian mereka tiga beranak serta penumpang lain sedang tidur sebelum terkejut dengan bunyi rempuhan kuat selain jeritan penumpang akibat ketakutan. 

"Saya dalam keadaan terkejut terus mencari anak dan isteri. Ketika itu keadaan sangat menakutkan apabila sebahagian penumpang tersepit. 

"Saya melihat isteri berlumuran darah di jalan raya dan anak pula ditemui tersepit di antara bas dan lori. Sangat menyedihkan apabila kedua-dua isteri dan anak saya ketika itu sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, di sini. 

Abdul Rahim berkata, akibat terkejut dengan apa yang berlaku itu, dia seolah-olah bingung dan tidak mampu berbuat apa-apa apabila isteri dan anaknya sudah meninggal dunia. 

"Saya tidak sangka pengalaman kali pertama menaiki bas menuju ke Gong Badak, Terengganu untuk melihat cucu sulung berusia 30 hari bukan sahaja tidak kesampaian, malah kehilangan anak dan isteri sekelip mata. 

"Sejak menantu bersalin, saya sekeluarga belum sempat melihat sebelum mengambil keputusan untuk ke Terengganu menaiki bas," katanya sambil menahan sedih. Abdul Rahim yang tinggal di Kampung Alma, Bukit Mertajam Pulau Pinang, berkata walaupun sedih dengan kejadian itu, dia reda dengan ketentuan Allah. 

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, selain Hasiah dan Mohamad Amir, turut meninggal ialah Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dari Terengganu dan seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

Lorem ipsum is simply dummy text of the printing and typesetting industry.

Comments


EmoticonEmoticon