GAMBAR hiasan menunjukkan seorang pendaki wanita bergambar di tebing kawah Gunung Merapi.
Yogyakarta – Seorang pendaki dipercayai maut selepas terjatuh ke dalam kawah Gunung Merapi di sini ketika cuba bergambar di puncak berkenaan.
Seorang anggota penyelamat, Dimar berkata, mangsa yang dikenali sebagai Eri Yunanto, 21, jatuh ke dalam kawah gunung berapi itu pada Sabtu lalu.
“Eri terjatuh ke dalam kawah sedalam 200 meter ketika bergambar di puncak gunung berkenaan pada pagi Sabtu lalu,” katanya.
Menurutnya, mangsa dan empat rakannya yang juga pelajar di Universiti Atmajaya di Yogyakarta mula mendaki gunung berkenaan pada malam Jumaat lalu.
“Pada pagi Sabtu, Eri dan dua lagi rakannya meneruskan pendakian ke kawah gunung berapi setinggi 300 meter untuk bergambar.
“Selepas mangsa terjatuh, rakan-rakannya segera turun dan membuat laporan mengenai insiden itu kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Menurutnya, 100 anggota penyelamat melancarkan operasi mencari mangsa tetapi usaha berkenaan masih gagal.