Siti Hawa menunjukkan surat yang ditulis Angah sebelum menghilangkan diri.
SIMPANG RENGGAM - Kehilangan seorang remaja di Kampung Batu 7, Block 3, dekat sini, terjawab apabila keluarganya menemui sepucuk surat ditinggalkan di biliknya sebelum menghilangkan diri, awal pagi Isnin lalu.
Ibrahim Abd Jamil, 61, menyedari anaknya, Muhd Azhari Ibrahim, 18, atau Angah hilang selepas menyiapkan air mandi ibunya, Siti Hawa M Said, 47, yang sakit.
Menurutnya, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila panggilan telefon anak kedua daripada lima beradik itu kira-kira jam 7 pagi Isnin lalu tidak berjawab.
Namun katanya, hingga menjelang tengah hari, Angah masih tidak pulang ke rumah.
“Selalunya bila keluar, Angah akan balik sebelum Zuhur sebab akan azan di surau dekat sini, tapi hari itu dia tak pulang-pulang, telefon pun tak jawab.
“Bila petang, adiknya masuk bilik Angah dan terjumpa surat ditujukan untuk ibunya. Bila baca surat itu, baru kami tahu Angah keluar pergi bertapa di Gunung Ledang selama sebulan,” katanya ditemui, semalam.
Ibrahim berkata, anaknya merupakan seorang yang aktif dan baharu sahaja menamatkan pembelajaran dalam bidang kemahiran jahitan di Giat Mara Simpang Renggam pada 23 Disember lalu.
“Tindakan Angah ini seolah-olah diatur seseorang sehingga cepat sahaja dia tinggalkan Simpang Renggam. Selepas anak saya hilang, saya juga ada mencari dan bertanya di tempat belajarnya di Giat Mara.
“Kawan dia kata, sebelum tamat kursus jahitan minggu lepas, ada seseorang yang dikenalis ebagai Mustakim menemui Angah.
“Saya percaya dia ahli kumpulan Tarikat Al Mut Mainnah. Saya juga percaya anak saya ini mengikuti kumpulan itu, tapi tak sangka dia mudah terikut sedangkan selama ini Angah sangat berhati-hati dalam bergaul,” katanya.
Tambah Ibrahim, pada malam sebelum anaknya menghilangkan diri, Angah ada menyatakan hasrat mahu ke Gunung Ledang.
Dia berkata, ketika itu isterinya tidak mengendahkan perkara itu kerana menganggap anaknya hanya bergurau.
“Saya sekeluarga berharap Angah pulang dan saya jika sesiapa ternampak anak saya ini terus hubungi saya di talian 014-6179921 atau hubungi balai polis berhampiran.
“Saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam Isnin selepas kehilangan anak saya ini,” katanya.